KERANA KASIHMU





Engkau tentukan

sehari lima kali kita bertemu



Aku inginkan rupamu

kulebihi sekali

sebelum cuaca menali sutera



Berulang-ulang kuintai-intai

terus menerus kurasa-rasakan

sampai sekarang tiada tercapai

hasrat sukma idaman badan



Pujiku dikau laguan kawi

datang turun dari datukku

di hujung lidah engkau letakkan

piatu teruna di tengah gembala





Sunyi sepi pitunang poyang

tidak merentak dendang dambaku

layang lagu tiada melangsing

haram gemercing genta rebana



Hatiku, hatiku

hatiku sayang tiada bahagia

hatiku kecil berduka raya

hilang ia yang dilihatnya.





by: Amir Hamzah

Comments

Popular posts from this blog

Did I Miss Anything?

Maaf

My Mother